Wednesday, 12 December 2012

Tempat - Tempat yang Menarik di Sandakan

PULAU-PULAU PENYU 

         Di seberang Pulau Libaran, 40 kilometer dari Timur-Utara Sandakan dan berhampiran dengan Sempadan Malaysia dan Filipina, terdapat sekelompok pulau-pulau yang terdiri daripada tiga pulau kecil yang berhampiran iaitu Pulau Selingan, Pulau Gulisan dan Pulau Bakkungan Kecil.


 Pulau-pulau ini merupakan pulau-pulau yang terutama di timur-selatan Asia di mana penyu-penyu mendarat dan bertelur di pantainya. Penyu-penyu ini biasanya bertelur pada waktu malam selepas pukul 8 bila air surut. Pada masa itu anda boleh menyaksikan penyu-penyu yang mendarat mengorek lubang di pantai dan bertelur ke dalamnya. Penyu-penyu yang bertelur di pulau-pulau ini ialah 83% ‘Green Turtles’ dan 17% ‘Hawksbill Turtles’. Kebanyakan ‘Green turtles’ bertelur di Pulau Selingan manakala kebanyakan ‘Hawksbill Turtles’ bertelur di Pulau Gulisan, kerana terdapat terumbu karang yang luas di kawasan ini. Manakala sebahagian kecil dari kedua-dua jenis penyu ini bertelur di Pulau Bakkungan Kecil. Penyu-penyu ini bertelur sepanjang tahun, tetapi kemuncak ia bertelur ialah pada bulan Julai hingga bulan Oktober bagi ‘Green Turtles’ yang bertelur lebih kurang 110 biji dalam satu lubang dan Februari hingga April bagi ‘Hawksbills Turtles’ yang bertelur di antara 70 hingga 180 biji telur sekali. Telur-telur ini akan di peram selama 50-60 hari sebelum ia menetas menjadi anak penyu dan berenang balik ke laut. Dalam penyelidikan, penyu-penyu betina ini akan kembali untuk bertelur selepas 20 tahun dan akan kembali bertelur selepas beberapa tahun berikutnya. 
            Di antara pulau-pulau penyu ini, Pulau Selingan juga merupakan salah sebuah tempat pelancongan yang menarik. Dengan menggunakan bot laju anda boleh menyaksikan keindahan pulau ini dan kejernihan lautnya yang cantik dengan beraneka jenis ikan. Pulau Selingan terdapat sebuah chalet iaitu Chalet Pulau Selingan. Ia mempunyai 15 buah bilik yang mempunyai bilik mandi. Chalet ini juga mempunyai restoran.




Pusat Pemuliharaan Orang-Utan Sepilok yang terletak 25 kilometer dari Bandar Sandakan, mempunyai keluasan 43 kilometer persegi.  Pusat Pemuliharan Orang Utan Sepilok merupakan sebuah hutan asli yang terpelihara.  Orang ramai dapat melihat Orang-Utan (Wild Red Apes) di tempat asal semulajadi mereka iaitu di hutan hujan tropika ini.  Tujuan utama Pusat Pemuliharaan Orang-Utan ini adalah untuk mendidik anak-anak orang-utan yang terpisah dari ibunya untuk berdikari di dalam hutan. 

Monday, 12 November 2012


KEISTIMEWAAN SETEMPAT

         A. SUP  SARANG BURUNG

Mahu memiliki badan yang sihat dan bertenaga? Cubalah sup sarang burung. Sup sarang burung ialah sejenis makanan tambahan yang dapat meningkatkan daya tahan tubuh manusia. Sup ini dihasilkan daripada sarang burung layang-layang. Antara khasiatnya termasuklah :
Sup Sarang Burung
  •         Menyegarkan tubuh badan
  •         Mengubati penyakit lelah , asma , sendi tulang
  •         Meningkatkan daya tahan badan
  •         Memelihara kecantikan
  •         Awet muda
  •         Mengelakkan penyakit angin ahmar dan kanser


Kandungan Zat


Carta Pie: Kandungan Zat Sup Sarang Burung
Cara-cara memasak sup sarang burung
Langkah 1~ 10 gram sarang burung, semangkuk air dan lima biji kurma Cina
                        serta satu sudu besar gula batu.
Langkah 2~ Rendam sarang burung selama lebih kurang 30 minit agar sarang
                        burung tersebut lembut sekali.
Langkah 3~ Kemudian ,masukkan sarang burung, kurma Cina dan gula batu ke
                        dalam sebuah mangkuk.
Langkah 4~ Masukkan mangkuk berisi sarang burung ke dalam kukusan apabila
                        air kukusan mendidih. Kukus selama satu jam. Pastikan air kukusan
                        itu tidak kering.
Langkah 5~ Sup sarang burung ini boleh dihidangkan panas atau sejuk.


       B.  KELIP-KELIP DI KAMPUNG KUANTAN



Di hujung kampung tinggal sepasang suami isteri,Pak Sahak dan isterinya Mak Munah. Mereka mempunyai seorang anak bernama Fuad. Kehidupan Pak Sahak sekeluarga amat sederhana.
            Pada suatu hari, Keluarga Pak Sahak mendapat berita yang mendukacitakan. Mereka diberitahu bahawa bekalan elektrik ke rumah mereka akan terputus. Gangguan ini dijangka akan berlanjutan selama dua minggu.
            Tatkala mendengar berita itu, Fuad berasa sedih. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Namun matanya masih tidak boleh lelap. Hatinya gelisah apabila mengenangkan peperiksaannya yang kian hampir. Sudah tentu dia tidak dapat mengulang kaji pelajarannya dengan tenang dan selesa.
            Dalam keadaan gelisah memikirkan berita itu, dia tidak sedar pada pukul berapa matanya mula terlelap. Dalam tidurnya itu, Fuad bermimpi dia didatangi oleh dua ekor kelip-kelip.” Mengapakah wajah kamu murung, Fuad?” salah seekor kelip-kelip itu bersuara. Alangkah terperanjatnya Fuad apabila mendengar pertanyaan kelip-kelip itu. Mukanya pucat , bagai ayam berak kapur. Namun begitu, Fuad memberanikan dirinya. Dia pun menceritakan masalah yang dihadapinya.
           “Usahlah bimbang. Kami berjanji akan menolong kamu,” kata kelip-kelip yang seekor lagi.
            Tidak lama selepas itu, sekawan kelip-kelip datang ke bilik Fuad. Kelip-kelip itu meminta Fuad mengambil sebuah balang.
            Sejurus kemudian, semua kelip-kelip itu pun masuk ke dalam balang. Serta-merta bilik Fuad menjadi terang. Fuad tersentak . Rupa-rupanya dia bermimpi.


Kelip-Kelip di Kampung Kuantan 
pada waktu malam.
Aktiviti
1.     Bagaimanakah keadaan kehidupan keluarga Pak Sahak?
2.     Mengapakah Fuad berasa bimbang apabila berlaku gangguan elektrik di rumahnya?
3.     Berbincanglah dalam kumpulan tentang peristiwa yang menarik dalam cerita di atas.
4.     Senaraikan nilai murni yang terdapat dalam cerita di atas.
5.     Senaraikan penjodoh bilangan yang terdapat dalam petikan. Kemudian, bina ayat dengan menggunakan penjodoh bilangan di bawah:
     


 Jenis-Jenis Kelip-Kelip

C . MENARA  JAM CONDONG TELUK INTAN


Menara  Jam Condong Teluk Intan setinggi lima tingkat ini merupakan satu-satunya bangunan yang condong di negara kita. Menara ini menjadi daya tarikan kepada para pengkaji sejarah. Kebanyakan daripada mereka berminat untuk membuat kajian tentang keadaannya yang unik dan kedudukannya yang condong itu.
            Mengikut sejarah, menara ini dibina pada tahun 1890 , oleh seorang hartawan Cina yang bernama Leong Choon Chong. Menara ini dibina untuk dijadikan memorial kepada Neol Danison, Penguasa Daerah Teluk Intan. Selain itu, menara ini juga dijalankan mercu tanda bagi bandar Teluk Intan.
            Menara ini sebenarnya mempunyai ketinggian lima tingkat sahaja tetapi kelihatan seperti mempunyai lapan tingkat jika dipandang dari luar. Tingginya tujuh meter dan mempunyai 100 anak tangga. 




Reka bentuknya unik kerana seakan-akan pagoda , bangunan yang terkenal di Jepun. Sewaktu bandar Teluk Intan dibom oleh pesawat Jepun , menara ini hampir-hampir musnah. Hal ini disebabkan terdapat sebutir bom yang digugurkan oleh pesawat Jepun telah jatuh hanya empat meter sahaja dari bangunan ini.
            Orang ramai dibenarkan memanjat hingga ke puncaknya yang tinggi sekali tetapi tidak dibenarkan memasuki menara ini kerana keadaannya yang sangat membahayakan.

 Aktiviti
    1.   Mengapakah Menara Jam Condong menjadi tarikan?
    2.   Bilakah dan siapakah yang membina menara ini?
    3.   Bagaimanakah reka bentuk menara jam ini? 
    4.   Apakah tujuan dibina menara ini?
    5.   Bincangkan cara-cara untuk mengekalkan warisan   
          sejarah ini.